09 Jun 2009

Perak Tubuh Yayasan Basmi Kemiskinan Tegar

IPOH, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan menubuhkan sebuah yayasan bagi menangani masalah kemiskinan tegar di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata penubuhan yayasan itu yang akan dikenali sebagai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah bagi mengisi keperluan untuk sebuah institusi yang bertanggungjawab secara langsung dalam mengatasi masalah tersebut secara lebih berkesan.

"Apa yang kita lihat sebelum ini ialah usaha untuk membasmi kemiskinan tegar di Perak dan mungkin juga di tempat yang lain kelihatan menggunakan pendekatan yang agak ad-hoc dalam memastikan penyampaian kepada kumpulan sasar.

"Jadi dengan adanya yayasan yang kita tubuhkan ini, dengan sendirinya ia dapat memastikan segala sumber-sumber yang ada untuk mengatasi masalah kemiskinan tegar ini dapat digunakan melalui satu saluran sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen 2008 Ladang Rakyat dan Ladang Jaya Baru di sini hari ini.

Beliau berkata melalui penubuhan yayasan berkenaan, kerajaan negeri dengan sendirinya akan mempunyai maklumat dan kedudukan terkini kemiskinan tegar di Perak serta bentuk bantuan yang telah disalurkan kepada kumpulan sasar.

Katanya bantuan yang akan disalurkan melalui yayasan itu akan melibatkan semua kaum dan cara pengagihan bantuan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 4,000 keluarga miskin tegar daripada pelbagai kaum dengan jumlah pendapatan bulanan kurang daripada RM420.

Pada majlis itu, dividen sebanyak RM4.1 juta diagihkan kepada 924 peserta Ladang Rakyat dengan setiap peserta memperoleh RM4,450 manakala RM7.9 juta diagihkan kepada 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terlibat dalam program Ladang Jaya Baru iaitu PPK Sungai Manik, Kampung Gajah, Seberang Perak, Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Bagan Datoh, Kuala Kangsar, Lenggong, Gerik, Pengkalan Hulu, Tapah dan Senggang/Manong.

Bantah Pelantikan Imam Dan Nazir Masjid, Umno Hantar Memorandum Kepada Sultan Selangor - Noh Omar

TANJONG KARANG, 8 Jun (Bernama) -- Umno Selangor akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah pelantikan imam dan nazir masjid di negeri itu yang dilantik tidak mengikut keputusan majoriti kariah serta anggota jawatankuasa (AJK) masjid.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar mendakwa walaupun pengundian dibuat melalui mesyuarat agung tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) didapati membuat pelantikan tanpa merujuk kepada keputusan pengundian itu.

"Mengapa ada pihak lain yang lebih tinggi dari keputusan mesyuarat agung. Lebih baik lantik guna kuasa dan tak perlu mengundi. Tindakan mereka ini buang masa dan mempersenda demokrasi.

"Umno Selangor memandang serius perkara ini dan kita akan mendapatkan maklumat terperinci dalam tempoh sebulan untuk kemukakan memorandum kepada Sultan Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Tani Sepetang Bersama Pesawah anjuran Padi Beras Nasional (Bernas) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa senario itu disahkan berlaku di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya apabila nazir dilantik dari kalangan mereka yang tidak mendapat undian tertinggi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku berdasarkan fahaman politik apabila ramai AJK Masjid yang kebetulan menyokong Umno telah digugurkan.

"Saya mempunyai bukti, contohnya di tempat saya (Tanjong Karang) berlaku apabila mereka yang mendapat undi tertinggi tidak dilantik, malah di Taman Medan, akhbar telah melaporkan mereka yang dilantik adalah penyokong Pas.

"Tindakan ini jelas bertentangan dengan nasihat Sultan Selangor yang menyeru agar institusi masjid tidak dikaitkan dengan hal politik," katanya.

04 Jun 2009

Jemputan Sebagai Ahli Panel Rancangan Agenda Awani - Astro 502

Assalamualaikum wbt.

Semalam (3 Mei 2009), saya telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel rancangan Agenda terbitan Astro Awani, kelolaan saudara Suhaimi Sulaiman.

Saya dan 3 ahli panel yang lain telah membincangkan selama lebih kurang 1 jam isu bertajuk ICT & Dakwah.

Ahli-ahli panel telah mengupas isu ini yang berkaitan dengan penggunaan teknologi ICT di dalam menyampaikan dakwah Islam.

Saya sempat mengambil contoh bagaimana Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti negeri Perlis yang menggunapakai dan memanfaatkan blog di dalam menyampaikan pandangan-pandangan beliau berkaitan Islam dan umat.

Terima kasih diucapkan kepada pengurusan Astro Awani yang telah menjemput saya.

Umno Dapatkan Pandangan Ketua Cawangan Pinda Perlembagaan Parti

PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Semua ketua cawangan Umno diminta memberi cadangan berhubung pindaan Perlembagaan Umno agar perubahan yang bakal dilakukan memberi manfaat kepada akar umbi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata surat kepada semua ketua cawangan telah dihantar secara berperingkat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya ketua cawangan diberi masa selama sebulan untuk mengemukakan maklumat balas sebelum Perhimpunan Agung Umno diadakan Oktober ini.

Tengku Adnan juga berkata Perhimpunan Agung Umno kali ini hanya akan membincangkan ucapan dasar Presiden tanpa melibatkan sebarang usul lain.

Ketika mengulas persediaan Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai bulan depan, Tengku Adnan berkata persiapan berjalan lancar.

"Kita dah mula menghantar jentera ke sana. Ketua Penerangan telah berada di sana sejak semalam, sebuah pasukan lagi akan berlepas ke sana hari ini untuk memberi maklum balas kepada kita berhubung calon yang layak untuk bertanding," katanya.

01 Jun 2009

Sedia Hiburan Halal Untuk Umat Islam - Jamil Khir

KUALA LUMPUR 31 Mei (Utusan Malaysia) - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Islam di negara ini diminta supaya bersikap lebih kreatif untuk menyediakan pelbagai hiburan yang halal dari segi agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, langkah itu penting bagi memastikan umat Islam mempunyai alternatif untuk menghiburkan diri mereka.

''Umat Islam khususnya generasi muda kini banyak terpengaruh dengan konsert hiburan yang melalaikan kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain untuk berhibur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran, Azan, Nasyid, Ceramah, Kuiz Agama dan Hafazan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Anan C. Mohd.

Turut hadir Presiden Kebangsaan Gepima, Mohamed Kathir Ali.

Dalam pada itu, Jamil Khir berharap NGO terbabit turut memberikan tumpuan untuk mengadakan lebih banyak kelas bagi mengajar generasi muda kaedah sebutan al-Quran mengikut tajwid.

''Kita sedih kerana kesibukan ibu bapa mengejar kekayaan duniawi telah menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab mendidik anak- anak berkaitan asas-asas agama dan saya berharap kelemahan ini dapat ditampung oleh para NGO.

''Bacaan al-Quran yang betul ini adalah penting bagi membolehkan umat Islam mengerjakan solat dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata, aktiviti lain yang boleh dibuat oleh NGO terbabit ialah menganjurkan kempen bagi menyedarkan generasi muda mengenai keburukan budaya lepak dan penyalahgunaan dadah.

Fahaman Politik Tidak Harus Menghalang Usaha Perkukuh Perpaduan

MUAR, 31 Mei (Bernama) -- Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi batu penghalang kepada usaha untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata usaha menyatu-padukan ummah perlu melangkaui segala perkara dan pertimbangan termasuk fahaman politik yang dianuti.

"Walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, tetapi soal perpaduan ummah di negara ini perlu melangkaui segala-galanya di dalam usaha kita untuk membangunkan umat Islam di Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata usaha membangunkan umat Islam di negara ini akan menemui kegagalan jika tiada perpaduan di kalangan mereka.

Beliau berkata, soal perpaduan ummah merupakan suatu jihad yang perlu dilaksanakan oleh semua orang Islam di negara ini.

"Allah S.W.T berkali-kali sentiasa mengingatkan umatnya tentang kepentingan perpaduan ummah, meminta umatnya supaya tidak berpecah-belah dan menjaga perpaduan di kalangan mereka," katanya.

Menurutnya, jihad bukan sahaja bermakna peperangan tetapi juga meliputi usaha memupuk perpaduan di kalangan umat Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata seruan supaya umat Islam negara ini mengukuhkan perpaduan mereka tidak seharusnya membimbangkan orang bukan Islam kerana perpaduan umat Islam yang merupakan teras di Malaysia, adalah amat penting untuk kestabilan negara.

"Orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana (perpaduan umat Islam di Malaysia) akan menjamin kestabilannya," katanya.

28 Mei 2009

SPM: Maksimum 10 Subjek SPM Mulai Tahun Depan

NILAI, 28 Mei (Bernama) -- Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Serentak dengan itu, beliau berkata beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.

Muhyidin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin berkata daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara daripada sudut lain dan ini dilihat daripada segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan. Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik daripada segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lepas untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Kompleks Pendidikan yang dilawati Muhyiddin hari ini terletak di kawasan seluas 400 hektar dan menempatkan kompleks Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Kos keseluruhan projek ialah RM1.3 bilion dan sebahagiannya dijadual siap pada penghujung 2010.